Posted by: smkta | October 10, 2009

HARI PRO TERAKHIR DAN MARHABAN MALAM HARI…

Batu Pahat, 10 Oktober; Hari ini lengkaplah sudah jadual Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) warga SMKTA. Kali ini input mengenai kesihatan menjadi santapan minda para guru dan staf sokongan sekolah ini. Doktor Khairaty binti Ali Badron dari Pusat Kesihatan Parit Sulong telah menyampaikan ceramah yang bertajuk “Gaya Hidup Sihat – Kesihatan Diri” di Perpustakaan Jauhari. Penyampaian beliau amat menarik dan banyak info kesihatan khususnya tentang penyakit2 berbahaya diberikan seperti virus H1N1, kanser payu dara, kanser pangkal rahim, kencing manis, menopause dan lain-lain. Hadirin yang memenuhi Perpustakaan Jauhari begitu berpuas hati dengan ceramah beliau.

Pada malam semalamnya pula, telah berlangsung program marhaban ke rumah Pengetua, Pn Hjh Noriah Nasir, mantan Pengetua, Pn Hjh Amnah Badol dan Pn Hjh Hanita Ghazali, Penolong Kanan. Kehadiran guru dan staf sokongan bersama-sama keluarga masing-masing agak menggalakkan. Pelbagai gelagat anak-anak kecil dapat disaksikan. Sebahagian guru yang bermarhaban  di rumah Pn Hjh NoriahYang paling menarik, marhaban pada malam itu menjadi lebih berkamakna dengan kehadiran Pn Hjh Rohanah Esmail yang sudi melapangkan masa beliau untuk turut serta.Pengetua dan Mantan Pengetua SMKTA

Posted by: smkta | September 14, 2009

Hari Profesionalisme ke-6

oleh : Toriani Musa

Pada hari Sabtu 12 September 2009 yang lalu, warga pendidik SMKTA telah berjaya menyempurnakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi kali yang ke-6. Perpustakaan Jauhari sekali lagi dipilih sebagai lokasi berlangsungnya kursus ini. Penceramah pada kali ini ialah Encik Mohsin Ibrahim, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah B.Pahat. Ceramah beliau bertajuk “Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan- Satu Tinjauan di Batu Pahat. Pengalaman memantau sekolah-sekolah di B.Pahat memungkinkan banyak input yang berguna tentang teknik P&P yang berkesan telah disampaikan oleh beliau dalam ceramah berkenaan.

Slot seterusnya adalah tentang “Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) dan Analisis Item yang dikendalikan oleh Guru-guru Kanan Mata Pelajaran. Semua guru diberi taklimat tentang perkara tersebut mengikut bidang masing-masing. Oleh sebab kursus dijalankan pada bulan Ramadan, maka tiadalah juadah yang disediakan… Namun, sebagai gantinya, setiap guru telah mendapat sekotak buah tamar. Kursus yang terakhir akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Posted by: smkta | September 1, 2009

LATIHAN KEBAKARAN DI SMK TUN AMINAH

Oleh : Raja Zarith Najwa Raja Zakaria
Disunting oleh : Toriani Musa

SMK Tun Aminah, Sabtu – Pada 15 Ogos yang lalu, bertempat di padang sekolah, telah diadakan latihan kebakaran. Program tahunan sekolah yang diadakan dua kali dalam setahun ini telah dikendalikan oleh Persatuan Kadet Bomba dan Penyelamat SMKTA yang diketuai oleh Encik Zaihan bin Salim. Beberapa orang pegawai Bomba daripada Pejabat Bomba Jalan Timah Sari juga turut serta menjayakan latihan kebakaran ini.

“Latihan kebakaran ini diadakan untuk melatih pelajar agar lebih bersedia jika mengalami kebakaran sebenar. Kepekaan pelajar terhadap keadaan di sekeliling mereka turut diuji dalam latihan ini,” kata Encik Zaihan apabila ditanya tentang tujuan mengadakan latihan kebakaran ini.

Latihan kebakaran ini bermula apabila siren kecemasan dibunyikan secara berterusan. Pelajar, guru dan kakitangan sokongan sekolah bergegas menuju ke kawasan lapang yang hampir dengan tempat mereka berada sebelum semuanya berhimpun di padang sekolah. Para pelajar beatur mengikut kelas masing-masing. Guru-guru tingkatan pula mencatatkan kehadiran pelajar bagi memastikan tiada pelajar yang tertinggal atau terperangkap dalam kebakaran.

Demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan pili bomba dan hos telah ditunjukkan oleh skuad penyelamat iaitu Skuad Rim. Sejurus kemudian, pelajar diarahkan pergi ke Dewan Srikandi untuk mendengar taklimat daripada pihak bomba. Taklimat ini telah disampaikan oleh Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Batu Pahat iaitu Encik Bakri. Menerusi taklimat beliau, pelajar didedahkan tentang cara-cara untuk menyelamatkan diri semasa kecemasan. Selain itu, beliau juga menyampaikan teguran dan peringatan kepada pelajar dan guru sebagai panduan dan pengajaran untuk masa yang akan datang.Sebelum latihan kebakaran ini berakhir, warga SMKTA diberi kebenaran untuk melihat kenderaan penyelamat yang digunakan termasuklah motosikal canggih berkusa tinggi yang dinamakan sebagai “Timah Sari ” itu.

Secara keseluruhannya, latihan kebakaran yang diadakan itu telah berjaya mencapai matlamatnya. Melalui latihan ini, pelajar telah dapat mempelajari semangat kerjasama sesama mereka, sikap prihatin terhadap orang lain, dan peka terhadap suasana sekeliling.

Posted by: smkta | August 24, 2009

MAJLIS SERAH TUGAS PENGETUA SMK TUN AMINAH

Ribut170208 107
24 Ogos 2009.
Disebalik umat Islam menjalankan ibadah puasa untuk hari ketiga, satu
majlis serah tugas di antara Guru Penolong Kanan, Hjh. Hanita Bte Hj. Ghazali dengan Pengetua, Pn. Hjh. Noriah Bte Nasir telah diadakan di bilik pengetua pada pukul 10.00 pagi. Majlis ini telah disaksikan oleh En. Mohsin Ibrahim, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Batu Pahat. Bagi pihak warga SMK Tun Aminah Kami mengucapkan Tahniah kepada Pn. Hjh. Noriah . Semoga SMKTA akan kekal cemerlang di bawah pimpinan Puan.

Posted by: smkta | August 18, 2009

PN HAJAH NORIAH NASIR PENGETUA SMKTA

Syabas!!! dan Selamat Datang, Pn. Hjh Noriah…

Warga SMKTA tidak perlu menunggu lama untuk mendapat pengetua baharu kerana pada hari Isnin, 17 Ogos 2009 yang lalu, Pn Hajah Noriah binti Nasir telah mula menjalankan tugas sebagai Pengetua SMK Tun Aminah bagi menggantikan mantan pengetua , Pn Hjh Rohanah Esmail yang berpindah ke SMK Penggawa Timur, Pasir Gudang. Sebelum berkhidmat di SMKTA, beliau merupakan Penolong Kanan SMK (P) Temenggung Ibrahim dan subjek major beliau adalah Matematik.

Warga SMKTA mengucapkan Selamat bertugas dan semoga SMKTA akan terus unggul di persada dunia pendidikan di bawah pimpinan Puan.

PELAJAR tekun mendengar ucapan...

WARGA pendidik SMKTA

WARGA pendidik SMKTA

Berita oleh : Toriani Musa
Gambar : Nurhaliza Abdullah

Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan ke-52 SMKTA telah diadakan pada hari ini, 17 September 2009 di padang sekolah secara sederhana tetapi tetap meriah. Perhimpunan yang diadakan di hadapan astaka ini telah bermula pada pukul 7.20 pagi dan berakhir kira-kira jam 8.20 pagi. Perhimpunan ini dihadiri oleh semua pelajar SMKTA kecuali para pelajar tingkatan tiga yang menduduki Peperiksaan Percubaan PMR yang bermula pada hari ini.

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Penolong Kanan, Pn. Hjh Hanita Ghazali. Beliau mengajak para pelajar khasnya, dan para guru amnya untuk menyelami erti kemerdekaan setelah Malaysia bebas daripada belenggu penjajahan 52 tahun yang lalu. Persembahan pelajar pula berupa deklamasi sajak bertemakan kemerdekaan oleh Nur Amanina Zainal Abidin dan Nur Suwaibah, masing-masing daripada tingkatan 2 Mujtahidah dan 2 Mumtazah. En Saofie pula mendeklamasikan sajak untuk Allahyarham Tun Abdul Razak dengan gaya yang tersendiri tetapi penuh bersemangat. Majlis ini diakhiri dengan nyanyian empat buah lagu patriotik oleh semua hadirin.

Diucapkan “Selamat menyambut Hari Merdeka” kepada semua warga SMKTA dan semoga berjaya kepada calon PMR 2009 SMKTA.

Posted by: smkta | August 17, 2009

SOLAT HAJAT PERDANA DI SMKTA

Oleh : Toriani Musa

Dewan Srikandi, SMK Tun Aminah 13 OGOS
Majlis Solat Hajat Perdana bagi calon PMR dan SPM SMKTA telah berlangsung dari 6.30 petang hingga 9.30 malam di dewan sekolah ini.

Pada hari dan waktu yang sama, semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Johor turut mengadakan majlis yang serupa. Majlis ini bertujuan untuk memohon diberikan Allah s.w.t kejayaan cemerlang kepada calon-calon PMR dan SPM sekolah ini. Sambutan ibu bapa dan penjaga pelajar begitu menggalakkan. Hal ini terbukti benar apabila dewan Srikandi penuh sesak dengan para jemaah. Sebelum menunaikan solat sunat Hajat ini, para ibu bapa, pelajar dan guru-guru terlebih dahulu telah bersolat Maghrib dan Isya’ secara berjemaah. Ustaz Akhdiat telah mengimamkan solat Maghrib manakala Ustaz Syed Ali Hassani pula mengimamkan solat Isya’ dan solat Hajat. Yang Berbahagia Profesor Hashim Saim, Yang Dipertua PIBG sekolah ini telah turut menghadiri majlis ini dan sudi menyampaikan ucapan .

Posted by: smkta | August 12, 2009

PN HJH HANITA MEMANGKU PENGETUA

Majlis Serah Tugas Bersama Pegawai PPD

Majlis Serah Tugas Bersama Pegawai PPD

oleh Toriani Musa

SMKTA, 10 Ogos 2009- Majlis Serah-Menyerah Tugas telah berlangsung secara rasminya antara bekas Pengetua SMKTA, Pn Hjh Rohanah Esmail dengan Penolong Kanan, Pn Hjh Hanita Ghazali. Upacara penyerahan tugas yang diadakan di bilik pengetua ini turut dihadiri oleh Encik Mohsin Ibrahim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Bhg. Menengah). Dengan ini, Pn Hjh Hanita akan memangku tugas dan tanggungjawab sebagai Pengetua SMKTA sehinggalah Pengetua yang baharu dipilih, dilantik dan melaporkan diri di SMKTA kelak.

Pada hari yang sama juga, Pn Hjh Rohanah telah bermurah hati untuk menjamu seluruh warga SMKTA dengan juadah nasi bukhari yang sungguh enak sentuhan chef-chef terkenal di bawah kelolaan En Hizaddin. Seronok juga dapat makan secara percuma begini…

Warga Blog SMKTA dan seluruh warga sekolah ini mengucapkan selamat bertugas kepada Pn Hjh Hanita. Semoga SMKTA bisa muncul sebagai Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang… Insya-Allah..

Posted by: smkta | August 10, 2009

HARI KELUARGA SMKTA DI PARIT KUDA

oleh Toriani Musa

Pada hari Sabtu 1 Ogos 2009, Kem Desa Embun, Parit Kuda di Jalan Muar yang terletak di lokasi perkampungan tradisional Melayu riuh-rendah dek suara 50 ahli keluarga SMKTA. Daripada anak-anak kecil hinggalah kepada emak-emak dan bapa-bapa atau bujang-bujang dan anak-anak dara, semuanya kelihatan gembira. Hilanglah penat menghadap tugas-tugas rutin seharian. Lupalah diri akan segala stres yang melanda buat seketika. Semuanya gara-gara Hari Keluarga SMKTA 2009 ini.

Seperti biasa, jika ada perhimpunan begini, adalah acara makan-makan… Bermacam-macam makanan disediakan. Antaranya, lontong goreng, ayam goreng, nasi goreng, otak-otak, kuih-muih, dan buah-buahan . Minuman pula ada dua jenis iaitu mata kucing dan cendol. Semua juadah ini disediakan melalui ‘pakatan murni’ warga SMKTA.

Acara pertama yang diadakan ialah pertandingan mewarna yang dikelolakan pleh Pn. Zaliha Basar. Anak-anak comel warga SMKTA begitu bersungguh-sungguh mewarnakan lukisan mengikut kategori masing-masing. Seterusnya, Pn. Pauziah Saubi pula mengendalikan acara sukaneka. Banyak gelagat menarik yang dapat disaksikan ketika ini. Menganyam ketupat mengggunakan riben membabitkan kaum bapa membuka tirai pertandingan. Hebat juga mereka menganyam dan tak kenal putus asa nampaknya! Encik Said, suami Pn Pauziah mengungguli acara ini, manakala bagi kaum wanita pula dimenangi oleh Cik Hazwani. Banyak lagi acara lain yang dijalankan seperti perlumbaan makan buah rambutan, mengasingkan bijirin dan lain-lain. Pada masa yang sama, ada juga guru yang menunjukkan bakat berkaraoke melalui set karaoke yang dibawa oleh En. Haris. Pendeknya, macam-macam ada….

Gambar-gambar menarik semasa Hari Keluarga

KAUM bapa menganyam ketupat...

KAUM bapa menganyam ketupat...

KARAOKE... En. Abid memang berbakat...

KARAOKE... En. Abid memang berbakat...

ACARA lumba makan rambutan..

ACARA lumba makan rambutan..

IBU dan anaknya...

IBU dan anaknya...

ANAK siapakah ini? Upacara penyampaian hadiah

ANAK siapakah ini? Upacara penyampaian hadiah

Posted by: smkta | August 8, 2009

SELAMAT BERPISAH PN. HJH. ROHANAH ESMAIL

oleh Toriani Musa

Bertemu dan berpisah, adat manusia biasa, hilang di mata tapi di hati tidak lupa…   

Itulah hakikat  yang terpaksa ‘ditelan’ oleh warga SMKTA pada 30 Julai 2009 yang lalu apabila Pengetua SMK Tun Aminah, Pn Hjh Rohanah Esmail dinaikkan pangkat DG52 dan menyandang jawatan sebagai pengetua di SMK Penggawa Timur, Pasir Gudang. Beliau telah menabur bakti sebagai Pengetua SMKTA selama  2 tahun  1 bulan.

Oleh itu, sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, suatu majlis perpisahan telah diadakan di Dewan Serikandi pada pulkul 12.00 tengah hari. Majlis Perpisahan yang diacarakan oleh Cik Nursyahida itu dimulai dengan bacaan doa oleh En. Abid. Ketua Pengawas, Nur Syazwani memulakan ucapan dan diikuti oleh Pn Hjh Asmah sebagai wakil guru dan staf sokongan. Ucapan beliau yang diselangi dengan bahasa berirama berupa usikan yang menyentuh harapan seluruh warga SMKTA kepada Pn. Hjh Rohanah mencuri tumpuan hadirin dan sesekali terdengar  derai tawa   para hadirin.

PARA PELAJAR sedang tekun mendengar amanat terakhir Pn Pengetua...

PARA PELAJAR sedang tekun mendengar amanat terakhir Pn Pengetua...

Majlis Perpisahan diteruskan dengan ucapan Pn Hjh Rohanah. Dalam ucapannya, beliau melahirkan perasaan gembiranya atas pelantikan tersebut. Beliau turut menceritakan serba sedikit pengalaman beliau tatkala melapor diri dan mengadakan lawatan singkat di sekolah berkenaan pada hari berkenaan.  Beliau turut menitipkan harapan agar para pelajar terus mengukir kecemerlangan untuk SMKTA. Kepada para pendidik pula, beliau berpesan agar meneruskan khidmat dengan gigih dan jika bercita-cita tinggi, hendaklah berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

 Majlis berakhir dengan penyampaian pelbagai cenderamata daripada warga SMKTA. Antaranya , guru dan staf tertentu, -panitia-panitia mata pelajaran, Koperasi SMKTA, Lembaga Pengawas, staf sokongan, KEBIRU, Asrama , guru DG44 dan 48, pentadbir, dan semua pelajar SMKTA.

Kami ucapkan selamat berpisah kepada Puan Hjh Rohanah, semoga berjumpa lagi dan semoga terus gemilang di sekolah yang baharu.

Older Posts »

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.